- Diari Elsajida – "Renungan" – Page 2 – elsajida.com
s

Diari Elsajida

Tips Pergi Haji Di Usia Muda

 

**Assalamualaikum semua. Lamanya blog post ni tak bersiaran ya? Maafkan kami ya kesayangan Elsajida semua disebabkan beberapa perkara jadi terbantut kejap. hihi. Maafkan kami :) Okaylah, untuk blog kali ni sis nak kongsi satu tips yang SANGAT SANGAT BERNILAI daripada orang yang sangat sis kagumi iaitu our lovely owner of Elsajida ; kak Sajida :)

Tips ni pun dah agak viral jugak beberapa minggu lalu. MasyaALLAH rasanya tak pernah terpikir kot tips macam ni. TIPS PERGI HAJI DI USIA MUDA. Ya, bunyi macam mustahil kan? tapi tiada benda yang mustahil tau kalau kena gaya usaha nya, insyaALLAH..Meh baca sampai habis tau :) :)  **
.
.

Tahukah anda? Kalau anda baru mendaftar haji dalam masa terdekat ini, giliran anda menunaikan Haji adalah pada tahun 2100 ke atas? (Diberitahu dalam kursus Haji Perdana baru-baru ini.) Sanggup anda menunggu sepanjang tempoh itu?
.
.

Jangan risau. Itu cuma anggaran tahun. Tak mustahil boleh dipercepatkan lagi dengan izin Allah. Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita. Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan. Ada 4 langkah semuanya;
.
.


1) Buka akaun Tabung Haji.
.
.

2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawangan TH, laman web TH, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB
.
.

3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. (Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).
.
.

 


4) a) Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil. :)

d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.
.
.

Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.
.
.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya. Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.
.
.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa. Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.
.
.


Nota cara menabung secara ringkas:
.
.

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?
.
.

2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).
.
.

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.
.
.


P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. ;) Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram.
.
.

Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan.
.
.

[Edited: Tambahan tips dari saudara Syafiq Kamil. --> Saya berminat untuk tambah info sikit. Bagi yang nak daftar haji, tapi belum cukup wang permulaan sebanyak RM1300, anda hanya perlu print penyata KWSP anda yang terkini dan bawa bersama ketika mendaftar di kaunter TH. Buka akaun TH cuma bayar RM10, manakala daftar haji pula PERCUMA (asalkan ada penyata KWSP). Yang penting daftar siap2, insyaAllah rezeki akan datang kemudian. Dah cuba, memang senang. Pihak TH juga minta war-warkan perkara ini. Terima kasih.

 

** Best kan tips ni? Semoga tips ni dapat memberi manfaat kepada semua ya, Yang penting JANGAN LELAH UNTUK USAHA. InsyaALLAH, ALLAH suka tengok niat hambaNYA yang suka berusaha. Lagi lagi usaha niat nak ke kota yang sangat suci ni. Aminnn **

 

Wanita itu Permata Berharga.

 

“Seorang perempuan itu mesti menghormati dirinya terlebih dahulu untuk menuntut orang lain menghormati dirinya.”

Allâh Azza wa Jalla memerintahkan kepada isteri-isteri nabi dan wanita beriman untuk menutup aurat mereka sebagaimana firman-Nya :

 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka !” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allâh adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [al-Ahzâb/33:59]

 

Berkata Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid “demikian Allah s.w.t menyentuh tentang kehormatan perempuan, pakaian nya, tempat meletakkan perhiasannya, kain yang dikepala, kain yang di letakkan di badannya, semuanya di atur oleh Allah s.wt.

Ini  bukan pengekanan untuk wanita, ini penghormatan kepada kita!  


Mari kita renung duhai wanita, andai kita miliki sebuah emas ,intan dan permata.. Dimana agaknya kita letak? Tidak mungkin kita biarkan begitu sahaja kan? Sudah semestinya kita simpan di dalam kaca dan dijaga sebaiknya supaya tidak di ambil orang dan tidak rosak.

 

Begitu lah kehormatan yang Allah berikan kepada wanita sehingga di atur, dijaga dan di rawat supaya kaum wanita dapat menghargai bagaimana ihsan yang diberi Allah s.w.t. Cukup memberikan satu penghormatan kepada wanita dan bagaimana agama ini memuliakan kaum wanita dengan Al-qur’an menamakan dalam nya satu surah iaitu surah An nisa’. Surah khusus buat wanita.

 

Beruntungnya kita wanita, jaga lah penghormatan yang diberi Allah kepada kita untuk orang lain memberi penghormatan kepada kita. Tutup aurat dengan sempurna . Jauhi fitnah diri kerana fitnah terbesar didunia ini adalah fitnah wanita 

 

Duhai wanita, Dirimu begitu berharga. Sesungguhnya wanita hiasan dunia..

 

"Telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik." 

 

KENALILAH TUHAN YANG MENGUJIMU

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar.

 

 

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.

 

 

 

 

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

 

 

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

 

Renung2kan & selamat beramal. Hehe.

 

Team Elsajida

 

 

Liquid error: Could not find asset snippets/quantity-breaks-now.liquid